Salamun'alaikum
Tulisan aku sebelum ni:
"Allah telah pun merancang kehidupan aku dari awal hingga akhir dengan diisi dengan nikmat yang baik-baik. Takkan pula Allah nak rancang kehidupan yang penuh dengan maksiat untuk hambaNya? Aku mesti berbaik sangka dengan Tuhanku. Tapi kita manusia ini lah yang mencorakkan buruk atau baiknya kehidupan kita. Malas mengaji dan mengamalkan agama, maka tersasarlah dari kehidupan baik dan cantik yang telah diatur. Begitulah Qada' dan Qadar Allah."
Konsep qada' secara mudahnya ialah seperti satu perjalanan hidup (mungkin di dunia sahaja?) seorang manusia (makhluk lain seperti tumbuhan,haiwan dan jin?) yang telah pun direkodkan dalam satu cd atau hard disk.
Konsep qadar pula secara mudahnya seperti playback dari apa yang telah direkodkan tetapi manusia dengan akal dan nafsu yang selalu disalahgunakan,termakan pula hasutan jin san syaitan, seringkali lari dari apa yang telah direkodkan.
Dengan penuh rasa sangkabaik ku terhadap Tuhanku, semestinya Allah telah pun merancang satu penghidupan yang baik untuk aku (begitu juga sekalian manusia) dengan nikmat-nikmatNya. Sehubungan dengan ini juga, aku tiba-tiba terfikir dengan ayat dari surah Al fatihah yang selalu kita baca dalam solat yang berbunyi:
[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus. [7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Seolah-olahnya, setiap hari sebanyak 17 rakaat kita mengharapkan kepada Allah untuk kembali kepada qada'nya iaitu satu kehidupan yang diisi dengan nikmat-nikmatnya yang telah pun dirancang dan direkodkan dahulu. Berulang-ulang kali ayat ini dibaca dalam solat. Betapa mengharapnya kita untuk kembali ke rahmat Allah. (kembali ke rahmatullah?)
Seorang rakan bertanya kepadaku, kenapa ada orang yang kaya dan ada yang miskin?ada yang miskin siang menjahit, malam jual kuih, suami dah meninggal, anak pula ramai. yang kaya pula hidup senang di dunia dari kecil sampailah ke besar, makan semuanya disuap! seolahnya Tuhan itu tidak adil.
Aku menjawab: Sesekali jangan berburuk sangka dengan Tuhan. Dia telah pun merancang kehidupan manusia dengan nikmat-nikmat yg baik dan pelbagai. Sebab itu kita kena berusaha untuk kembali kepada kehidupan yang cantik yang telah pun dirancangNya. memang banyak halangan untuk kembali kepada qada'Nya itu. Antaranya: nafsu, jin, syaitan, qarin, perasaan malas dll. Di sini timbul pula konsep sabar. Sabar dengan ujianNya. Kalau si miskin mampu sabar dan redha dengan ujianNya ditambah pula dengan amal ibadat yang ikhlas kepadaNya, maka beruntunglah si miskin itu. Tambahan lagi kalau dia rajin berusaha dan tidak pernah kenal erti putus asa, dengan izin Allah kehidupannya akan berubah. Perlu di ingat dalam Islam tidak ada istilah putus asa. Teringat kembali zaman kegemilangan Islam dahulu di zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz, di mana tidak wujud lagi asnaf-asnaf yang layak untuk menerima zakat kerana tidak ada yang fakir dan miskin.
Allah itu maha adil. yang kaya juga ada ujiannya. Tidak semestinya hidup sentiasa senang dan sentiasa di atas. Pelbagai sudut boleh difikirkan untuk membuktikan manusia itu yang merosakkan perancangan Allah. Maka aku berfikir lagi, ada yang kafir yang tidak pernah kenal Islam dari kecil sampai mati, hidup pula serba miskin didunia dan akhirnya masuk pula neraka kerana bukan Islam. Adakah Allah tidak adil? Tentunya tidak. Sebagai orang Islam, kita sewajibnya bersyukur dilahirkan dalam Islam dan dapat mengecapi iman. Aku serahkan kepada Allah, Hakim yang sangat adil dalam mengadili manusia ciptaanNya. Walaupun dia dilahirkan dalam keadaan kafir, tetapi di luh mahfuz telah pun berjanji dengan Allah untuk patuh padaNya. Maka kedua orang tuanyalah yang mencorakkan sama ada dia yahudi, nasrani dsb. Naluri untuk mengenal siapa pencipta alam dan seluruh isinya pasti ada pada manusia sebaik-baik kejadian yang dianugerahkan dengan akal untuk berfikir. Maka berusahalah ke arah itu sehingga kita betul-betul kenal akan Dia. Ini bukan sahaja tugas untuk org kafir, tetapi juga untuk umat Islam seluruhnya. Bagaimana untuk kita tahu kita sudah kenal Tuhan dengan sebenar-benarnya? Apabila mendengar nama Allah disebut di setiap kali azan mahupun setiap kali mengangkat takbir di permulaan solat, maka akan bergetarlah jantung, meremang bulu roma kerana takutnya diri yang kerdil betapa besar, agung dan hebatnya Allah, Tuhan yang Maha Kuasa!
- Segala penulisan bukanlah untuk tujuan mengajar kerana aku sendiri belum layak untuk mengajar orang lain dan mungkin terdapat kesalahan. Tetapi sekurang-kurangnya membuka peluang untuk kita berfikir tentang hal-hal keagamaan daripada berfikir hal-hal keduniaan. Ianya juga adalah sebagai rujukan peribadi di masa akan datang dan memberi peluang untuk aku meluahkan pendapat. - Monsieur J

